Tema satu menerangkan apakah itu Islam yang berkait dengan Rukun Iman
dan Rukun Islam. Rukun Iman ialah asas akidah Islam yang dibina, yang di
atasnya terkumpul semua jenis ibadat sama ada melalui perkataan dan
perbuatan, akhlak mulia dan kebaikan serta asas-asas kesempurnaan agama
Islam. Ia merangkumi kepercayaan kepada tuhan yakni Allah, malaikat,
kitab-kitab, rasul-rasul, hari kiamat serta qada dan qadar. Manakala,
Islam itu pula dibina atas lima rukun Islam iaitu menyaksikan bahawa
tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah S.W.T dan Muhammad S.A.W
ialah pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di
bulan Ramadan, dan menunaikan haji di Baitullah al-Haram bagi mereka
yang mempunyai kemampuan untuk menunaikannya.
Tema kedua adalah sumbangan Islam kepada tamadun manusia. Selepas Nabi
Muhammad S.A.W wafat, penganut agama Islam telah mara dari Semenanjung
Arab ke Utara, Timur dan Barat. Dalam jangka masa yang pendek, mereka
telah berjaya mengembangkan ajaran Islam dari Sepanyol di Barat sehingga
ke negeri China di Timur. Sebuah empayar yang terbesar dalam sejarah
dunia telah didirikan oleh orang Islam melalui tindakan dakwah,
ketenteraan dan pemerintahan yang cekap. Di wilayah-wilayah Islam,
terdapat golongan intelektual yang cekap dalam bidang pentadbiran,
pembangunan, pertanian, industri, kejuruteraan, pertahanan, ilmu sains
dan hisab tinggi, ilmu falak dan pelayaran, perubatan dan bermacam-macam
lagi ilmu selain daripada pengajian agama Islam, hukum-hakam dan
tafsirannya. Institusi-institusi pengajian tinggi bertebaran dari
Sepanyol sehingga ke Asia Tengah, dilengkapi dengan kutub khanah dan
makmal. Ilmu-ilmu terdahulu dari tamadun yang telah luput seperti
tamadun Yunani dan Rom dikaji, ditokok-tambah dan dibukukan secara
teratur. Islam telah berjaya melahirkan ramai pakar sains dan tokoh
ilmuwan agung suatu ketika dahulu.
Tema ketiga adalah Asmaul Husna. Asmaul Husna merujuk kepada nama-nama
Allah yang baik lagi mulia. Nama-nama ini melambangkan sifat-sifat Allah
yang Maha Sempurna (Kamal), Maha Cantik (Jamal) dan Maha Mulia (Jalal).
Mengenal Allah melalui nama-nama dan sifat-sifat-Nya merupakan satu
perkara yang penting bagi melahirkan rasa cinta, takut, membesar dan
memuliakan Allah pada setiap masa dan tempat.
Tema keempat pula memperkatakan tentang persamaan di antara Al-Quran dan
Injil. Beriman kepada kitab-kitab merupakan salah satu daripada rukun
iman. Melalui persamaan-persamaan yang terdapat di dalam al-Quran dan
Injil, jelas terbukti bahawa al-Quran merupakan sebuah kitab yang
lengkap dan sempurna merangkumi kandungan kitab-kitab sebelumnya seperti
Taurat, Zabur dan Injil. Seperti yang disebutkan dalam al-Quran, surah
al-Maidah ayat 48, jelas terbukti bahawa terdapatnya usaha-usaha untuk
menyeleweng kandungan asal kitab-kitab tersebut mengikut kehendak dan
hawa nafsu golongan yang berkepentingan.
Tema kelima memaparkan kandungan berkenaan dengan sejarah Islam di
Pahang, tokoh-tokoh Islam tempatan dan peranan istana yang menyumbang
kepada tertegaknya syiar Islam di Pahang.
Tema keenam ialah seni bina masjid di Alam Melayu. Masjid-masjid terawal
di Alam Melayu mempunyai keunikan seni bina tersendiri kerana
dipengaruhi oleh banyak faktor seperti geografi, iklim, struktur
bangunan, bahan serta teknologi yang digunakan dalam proses pembinaan.
Selain daripada itu, faktor sejarah, latar belakang kebudayaan daerah,
lingkungan, serta adat istiadat masyarakat setempat juga turut
menyumbang kepada kepelbagaian seni bina masjid di Alam Melayu.
Tema ketujuh ialah Masjid-masjid terawal dalam Islam. Dalam al-Qur’an
al-Karim, terdapat banyak ayat yang menyentuh dan mengaitkan perihal
berkenaan masjid. Ada di antara ayat berkenaan yang menyebut ‘masjid’
secara khusus seperti Masjidil al-Haram dan Masjid al-Aqsa. Selain
daripada itu, ada juga perkataan ‘masjid’ yang bermaksud masjid secara
umumnya. Sekurang-kurangnya, terdapat 46 kali pernyataan disebutkan di
dalam al-Qur’an yang menyentuh perihal masjid. Antara masjid yang paling
suci dalam pegangan penganut agama Islam mengikut turutannya, ialah :
Masjidil al-Haram, Masjid an-Nabawi, Masjidil Aqsa, dan Masjid Quba.
No comments:
Post a Comment