Muzium Masjid Sultan Abdullah, Pekan
Masjid Sultan Abdullah merupakan masjid ketiga di Bandar Pekan dan
dibina di atas tapak masjid kedua di Kuala Sungai Parit. Bangunan batu
dengan reka bentuk “Moorish” ini dibina pada awal tahun 1929 dan siap
pada tahun 1930. Istiadat perasmian masjid ini telah disempurnakan oleh
YTM Tengku Abu Bakar Ibni Sultan Abdullah (Tengku Mahkota Pahang) yang
berlangsung pada 8 Januari 1932. Masjid Abdullah telah berfungsi sebagai
masjid utama bagi penduduk Pekan untuk ibadah sembahyang Jumaat dan
segala aktiviti agama Islam yang lain pada masa itu.
Pada tahun 1997,
Lembaga Muzium Negeri Pahang telah mengambil alih bangunan masjid ini
daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang setelah
mendapati bahawa masjid ini tidak lagi digunakan dan terbiar tanpa
sebarang penyelenggaraan asas. Pada peringkat permulaan, Lembaga Muzium
Negeri Pahang telah menjalankan kerja-kerja pembersihan dalam dan luar
bangunan.
Di samping untuk memulihara bangunan Masjid Abdullah Pekan
sebagai monumen lama dan bersejarah, Muzium Negeri Pahang sedang
merancang untuk menjadikan bangunan masjid ini sebagai Muzium Kesenian
dan Intelektual Islam Negeri Pahang kerana ia terletak di lokasi yang
strategik dan amat sesuai untuk dijadikan sebagai galeri pameran.
No comments:
Post a Comment